Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2007 (ABKM 2007)

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menjemput para penerbit untuk mencalonkan buku terbitan masing-masing bagi Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2007 (ABKM 2007).

A. SYARAT-SYARAT PENYERTAAN

  1. Penyertaan hendaklah dibuat melalui penerbit. Individu yang bukan penerbit tidak dibenarkan menghantar pencalonan. Pencalonan adalah untuk buku dalam bahasa Malaysia sahaja.
     
  2. Penyumbang atau karyawan yang bukunya dicalonkan mestilah terdiri daripada penulis, penyunting, penterjemah atau ilustrator Malaysia sahaja dan buku tersebut diterbitkan di Malaysia.
     
  3. Setiap buku yang dicalonkan perlulah dihantar sebanyak ENAM naskhah bagi buku-buku yang berharga RM150 dan DUA naskhah bagi yang berharga RM150 ke atas. Buku-buku yang bersiri dikira judul yang berasingan kecuali buku yang bentuk jilid yang dikira sebagai satu set.   
     
  4. Setiap penerbit dibenarkan menghantar sehingga LIMA judul sahaja bagi setiap kategori. Penerbit hendaklah membuat penapisan sendiri dan menghantar judul-judul terbaik mereka.
     
  5. Buku-buku terbitan 2006 dan 2007 sahaja yang layak dicalonkan dalam ABKM 2007 dan buku mesti diterbitkan secara profesional serta mempunyai ISBN.
  6. Buku-buku edisi pertama sahaja layak untuk dinilai. Buku yang telah menyertai anugerah ini tidak layak dicalonkan semula.
     

B. KATEGORI ANUGERAH

Sebanyak 13 anugerah akan diberi kepada karyawan termasuk satu anugerah utama yang akan diberi kepada penerbit iaitu Anugerah Tinta Perdana bagi buku terbaik keseluruhan. Hadiah wang tunai dan sijil diberi kepada karyawan manakala sijil penghargaan diberi kepada penerbit.

Kategori dan nilai hadiah adalah seperti berikut: 

  • Anugerah Tinta Perdana RM5,000
     
  • Buku Kanak-kanak Bergambar RM3,000
     
  • Buku Kanak-kanak (Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Kanak-kanak (Bukan Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Remaja (Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Remaja (Bukan Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Dewasa (Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Dewasa (Bukan Fiksyen) RM3,000
     
  • Buku Terjemahan RM3,000
     
  • Buku Ilmiah RM3,000
     
  • Ilustrator Terbaik RM2,000
     
  • Pereka Bentuk Terbaik RM2,000
     
  • Editor Terbaik RM2,000
     

C. HURAIAN KATEGORI BUKU

Penerbit hendaklah menentukan penyertaannya berdasarkan salah satu daripada kategori berikut: 

  1. Buku Kanak-kanak bergambar: Buku untuk pembaca awalan yang berfokus pada persembahan ilustrasi, fotografi dan elemen-elemen grafik yang lain.
     
  2. Buku Kanak-kanak (Fiksyen): Buku untuk pembaca awalan yang mempersembahkan penulisan fiksyen.
     
  3. Buku Kanak-kanak (Bukan Fiksyen): Buku untuk pembaca awalan yang mempersembahkan penulisan bukan fiksyen.
     
  4. Buku Remaja (Fiksyen): Buku untuk pembaca remaja yang mempersembahkan penulisan fiksyen.
     
  5. Buku Remaja (Bukan Fiksyen): Buku untuk pembaca remaja yang mempersembahkan penulisan bukan fiksyen.
     
  6. Buku Dewasa (Fiksyen): Buku fiksyen untuk pembaca dewasa yang ditulis dalam genre atau gaya popular termasuk novel dan koleksi cerpen.
     
  7. Buku Dewasa ( Bukan Fiksyen): Buku bukan fiksyen untuk pembaca dewasa yang ditulis dalam genre atau gaya popular tentang subjek-subjek yang menjadi minat umum termasuk nonfiksyen kreatif.
     
  8. Buku Terjemahan: Buku umum atau khusus berbentuk fiksyen dan bukan fiksyen yang diterjemahkan daripada bahasa lain ke bahasa Melayu.   
     
  9. Buku Ilmiah: Buku yang ditulis dengan menggunakan gaya ilmiah.
     

D. KRITERIA ASAS PENILAIAN

Penilaian buku secara umumnya adalah berdasarkan kriteria yang meliputi aspek kandungan, keaslian, tarikan umum dan ciri khusus seperti berikut.

  1. Kandungan: Kualiti kandungan meliputi penulisan, informasi, serta ilustrasi, fotografi dan persembahan grafik lain.
     
  2. Keaslian: Pengkaryaan yang baik menonjolkan nilai inovatif, artistik dan kreatif serta pendekatan yang menarik dalam genre atau kategori masing-masing.
     
  3. Tarikan Umum: Tarikan kepada khalayak yang lebih luas hendaklah menjadi ciri istimewa. Ini tidak bermakna buku yang mengkhusus kepada khalayak tertentu tidak diberi pertimbangan tetapi buku tersebut hendaklah menunjukkan kemampuan untuk mencapai pembaca di luar kelompoknya.
     
  4. Ciri Khusus: Ciri isu-isu khusus bagi menepati setiap kategori. Misalnya Buku Kanak-kanak Bergambar juga dinilai dari segi integrasi ilustrasi dengan cerita; buku terjemahan dinilai dari segi ketepatan terjemahan.
     

E. PENYERTAAN

Setiap penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan tarikh akhir penyertaan adalah pada 31 Oktober 2007. Hantarkan penyertaan kepada alamat berikut:

Urus Setia Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia
Majlis Buku Kebangsaan Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 14, Blok E12, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.
Tel.: 03-8884 7016  
Faks: 03-8888 6296
(u.p.: Siti Mazlin Abdul Rahman) 

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)